Aug 7, 2011

Definisi Arkitektur

Assalamualaikum w.a.b dan Selamat Sejahtera.

InsyaAllah post kali ini aku akan membicarakan perihal definisi arkitektur mengikut kaca mata aku sebagai pelajar dan insyaAllah juga sebagai pengamal arkitektur pada masa hadapan. Selain itu posting kali ini juga bagi memenuhi tugasan-tugasan yang dipinta oleh pensyarah berjiwa sahabat yang sangat dihormati, En Firdaus As-Siddiq.

Menyingkap kembali kata-kata yang pernah dituturkan oleh salah seorang lagi guru arkitekturku,
En Razali Kamisan, beliau menyatakan bahawa apa yang dikatakan ilmu itu ialah apabila matlamat perlaksanaan dan pengajian sesuatu bidang itu adalah kerana ingin menuju kepada Allah Yang Satu. Tidak kira walau bidang apa sekalipun, yang penting matlamatnya yang utama hanyalah Allah Taala. Sebab itulah kenapa setiap amalan itu perlu disertai dengan niat supaya matlamat perlaksanaannya akan menjadi lebih jelas sepertimana yg telah disebutkan oleh rasulullah melalui hadisnya :

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Dari itu, ingin aku nukilkan disini bahawa ARKITEKTUR itu menurut pandanganku adalah hubungan antara Manusia, Alam dan Pencipta. Manusia itu adalah kita yang mempraktis arkitektur, Alam adalah medan yang menjadi kesan atas perlaksanaan arkitektur itu manakala Pencipta pula iaitu Allah Azza Wajalla adalah raja yang menciptakan dan merancang setiap apa yg telah, sedang dan akan berlaku disekeliling kita. Walaupun kalau dilihat secara kasar bahawa arkitektur itu adalah perkara duniawi, kita tidak boleh sekali-kali mengasingkannya daripada tuntutan agama kerana ianya mampu menjadi jambatan untuk ke akhirat yang kekal abadi. Sebab itulah kenapa aku memetik kata-kata En Razali di awal penulisanku.

Allah juga sudah berfirman melalui surah Al-Baqarah pada ayat ke 208 yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kedalam islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu "

Melalui ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa Allah menyuruh hamba-hambaNya yang beriman agar masuk kedalam Islam secara total. Islam bukan hanya sekadar mengucap syahadah, solat, puasa, zakat dan haji bahkan islam itu meliputi seluruh kehidupan kita termasuklah dalam pengajian dan perlaksanaan arkitektur itu.

Jadi, apa yang nak ditekankan disini, betapa perlu dan pentingnya kita mendapat guide daripada agama sepanjang proses pengajian dan perlaksanaan arkitektur itu supaya kita tidak tersasar dan membuat dosa. Apa guna kita berpenat lelah duduk di studio untuk belajar siang dan malam andai solat diabaikan. Sebab itulah pentingnya hubungan kita dengan tuhan sepanjang dalam pengajian dan perlaksanaan arkitektur itu. Berkenaan dengan alam, alam itu bukan hanya tumbuh-tumbuhan dan binatang semata-mata. Alam itu termasuklah semua yang diciptakan Allah diatas muka bumi ini dari sekecil-kecil zarah sehinggalah sepandai-sepandai manusia itu sendiri. Dengan wujudnya rasa bahawa Allah itu wujud, dan memerhatikan setiap tingkah laku kita, arkitektur akan dan dapat dilaksanakan dengan berhati-hati dan cermat sehingga tidak membawa kepada kerosakan alam termasuklah hubungan kita sesama masyarakat.

Aku menyedari, banyak khilaf yang dilakukan oleh kita semua termasuk diri aku sendiri sepanjang pengajian dan perlaksanaan arkitektur ini, Namun ianya bukanlah menjadi penghalang untuk kita melaksanakan hijrah kearah yang lebih baik. Jadikan arkitektur ini sebagai pengikat hati-hati kita untuk terus melaksanakan kebaikan melaluinya.

Alhamdulillah, sekian sahaja pengertian aku terhadap arkitektur itu menurut kaca mata aku sendiri. Buat sahabat-sahabat seperjuangan, walau apa pun ta'rifan kalian terhadap arkitektur itu, jangan sesekali biarkan ianya lari dari landasan hidup kita yang sebenar yang berpaksikan iman dan takwa. Semoga penulisan aku kali ni memberi manfaat untuk kita dan juga generasi akan datang. InsyaAllah......wassalam.

*together we sketch the future...ngeh3...^_^

No comments:

Post a Comment