Dec 25, 2008

10 nasihat untuk memahami Kalamullah



Ketika malam bertukar menjadi pagi, kucoretkan tulisan ini sebagai nasihat bagi yang sudi, untuk dipraktikkan bukan sekadar teori, agar Al Quran dibaca lalu difahami. Berikut adalah beberapa panduan untuk sesiapa sahaja yang ingin memahami Al Quran, terutama mereka yang tidak memahami sebahagian besar ayat Al Quran hanya kerana ayat-ayat itu adalah di dalam Bahasa Arab. Perkara sebegini bukan halangan untuk anda memahami Al Quran. Malah ramai yang menguasai Bahasa Arab tetapi masih lagi tidak cuba memahami Al Quran. Semoga Allah SWT memberikan hidayah untuk saya dan anda semua.


1- Membeli sebuah Al Quran berserta terjemahan. Mungkin terdapat perbezaan pendapat di kalangan kita tentang terjemahan Al Quran yang paling baik. Saya secara peribadinya mencadangkan agar pembaca membeli terjemahan Al Quran yang dicetak oleh Kerajaan Arab Saudi di dalam Bahasa Indonesia dan juga Tafsir Pimpinan al Rahman terjemahan Dr. Abdullah Basmeih yang dicetak oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

2- Peruntukkan waktu secara tetap sama ada harian atau mingguan untuk membaca beberapa ayat Al Quran berserta terjemahan. Tidak perlu terlalu bersemangat kerana selalunya semangat yang berlebihan tidak akan bertahan lama. Jika anda sekadar ingin membaca ayat Al Quran tanpa terjemahan, sememangnya digalakkan setiap hari dalam keadaan yang sederhana. Namun untuk membacanya berserta terjemahan, perlulah diberikan peruntukan waktu untuk ‘menghadamkan’ terjemahan dan maksud ayat-ayat yang telah dibaca. Mungkin pembaca boleh memperuntukkan masa untuk ayat-ayat daripada juzuk 30 kerana ia ayat-ayat yang sering kita baca dan hafal. Sebagai contoh, mulakan dengan surah al Ikhlas yang mengandungi 4 ayat dan diberi tempoh selama 3 hari untuk membaca, merenung dan memahami maksudnya sebelum berpindah kepada surah al Naas pula. Begitulah seterusnya.

Tidak semestinya anda mengikut susunan misalnya bermula daripada al Fatihah kemudian al Baqarah, Ali Imran dan seterusnya, atau bermula daripada al Naas kemudian al Falaq, al Ikhlas dan seterusnya. Matlamat kita ialah cuba memahami ayat-ayat Al Quran secara keseluruhan. Mungkin minggu ini kita ingin memahami maksud beberapa ayat daripada surah Yaasin dan minggu depan pula kita ingin mengetahui maksud beberapa ayat daripada surah al Kahfi pula. Apa yang penting, setiap minggu kita akan peruntukkan sedikit masa untuk memahami beberapa ayat dan sikap ini berterusan dengan penuh istiqamah.

3- Tandakan ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya. Sememangnya kita tidak akan dapat memahami dengan jelas setiap ayat yang dibaca. Mungkin ini disebabkan oleh keadaan atau tumpuan kita semasa membacanya. Mungkin juga disebabkan ayat terjemahan itu tidak jelas dan mungkin juga disebabkan kita baru membacanya sekali tanpa benar-benar faham. Walau apa pun sebabnya, jangan biarkan ayat itu berlalu tanpa memastikan kita benar-benar faham maksudnya. Tandakan ayat tersebut dan peruntukkan beberapa hari atau lebih untuk mengkaji maksudnya dengan lebih jelas.

4- Wujudkan panel rujukan sendiri dengan menyimpan nombor telefon beberapa orang ustaz yang dirasakan mampu menghuraikan maksud ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya tadi. Rujuk kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang lebih cepat dan mudah. Lebih cepat ialah dengan menulis sms dan dihantar ke telefon bimbit seseorang ustaz, misalnya anda tulis ‘Assalaamualaikum ustaz, apa maksud ayat 23 surah Luqman? Terima kasih’. Mungkin sesetengah ustaz tidak terus membalasnya kerana ingin mengkaji terlebih dahulu. Lihat, anda telah melakukan amal soleh dengan menyebabkan seorang agamawan membuka kembali buku dan kitabnya yang telah lama berhabuk di atas rak buku, hanya kerana satu sms yang ingin tahu tentang tafsir satu ayat daripada Al Quran.

5- Mencari maksud ayat tersebut daripada terjemahan edisi yang lain atau membeli buku tafsir Al Quran yang telah diterjemahkan. Kini terdapat banyak buku tafsir yang diterjemahkan dan yang paling baik setakat pengetahuan saya ialah terjemahan Tafsir Ibn Kathir. Buku terjemahan Al Quran juga terdapat dalam banyak versi sama ada di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Indonesia dan lain-lain lagi. Langkah ini mungkin memerlukan kepada perbelanjaan yang lebih untuk memiliki sebanyak mungkin terjemahan Al Quran, tetapi ia tetap berbaloi kerana tujuan kita amat mulia iaitu memahami Al Quran.

6- Pengulangan bacaan tafsiran atau terjemahan ayat yang sama dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang ayat. Mungkin kali pertama anda membaca terjemahannya dan tafsirannya semasa pemikiran anda tidak berfokus dan tidak tenang disebabkan pelbagai masalah. Kali kedua pula anda membacanya dalam keadaan tenang dan tiada masalah. Pasti bacaan kedua akan lebih membantu anda memahami ayat tersebut, wallahu a’lam.

7- Sebolehnya cari kaset-kaset atau CD yang mengandungi huraian Al Quran daripada ustaz-ustaz atau mana-mana pendakwah. Mungkin anda sibuk dan tak sempat nak mendengar kuliah tafsir, maka bukalah radio atau belilah cd untuk anda belajar daripada dalam kereta atau gunakan alat seperti cd walkman atau mp4 untuk mempelajari tafsir Al Quran. Takkanlah waktu di dalam kereta hanya dengan mendengar lagu atau berita di radio sahaja?

8- Lebih baik lagi jika mempunyai tempat kuliah tafsir yang dihadiri secara tetap
. Ini penting untuk menjadikan kita sentiasa istiqamah dalam mempelajari tafsir. Ustaz yang mengajar juga boleh kita jadikan sebagai rujukan tetap kerana kita akan sentiasa bertemu dengan beliau setiap kali tiba waktu kuliah.

9- Layari laman web Islamik yang menawarkan perkhidmatan untuk memahami ayat-ayat Al Quran atau boleh muat turun beberapa program yang mengandungi tafsir atau terjemahan Al Quran. Internet perlu digunakan sebaik mungkin terutama bagi mereka yang boleh ‘online’ semasa berkerja. Program tafsir juga boleh dimuat turun ke dalam laptop atau ke dalam alat seperti telefon bimbit atau telefon PDA yang canggih lagi memudahkan.

10- Cuba pelajari Bahasa Arab untuk lebih mendekatkan diri kita dengan maksud ayat yang dibaca. Hendak seribu daya. Saya secara peribadi telah bertemu dengan orang-orang yang tahu berbahasa Arab dengan mempelajarinya secara sendiri dan mereka bukanlah produk sekolah agama atau universiti di negara Arab.


Akhir kata, berdoalah kepada Allah SWT agar kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang ingin mendalami ilmu Allah SWT terutamanya ingin mendalami Al Quran. Ingatlah, tiada keinginan untuk menambahkan ilmu agama adalah satu penyakit merbahaya. Kesannya pesakit ini akan terus hidup dalam keadaan jahil dan tidak bertambah ilmunya. Ingat pesan Rasulullah SAW :
Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya.
(Riwayat al Bukhari, no.5027).


Waallahu'alam

*copy from www.iluvislam.com
Oleh: Ustaz Adlan bin Abd Aziz (Ali Tantawi)

Dec 22, 2008

Tuan Guru Nik Aziz....'role model' pemimpin masa kini


Rumah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka Kelantan

BELUM ADA lagi pemimpin Melayu/Islam yang mampu menandingi kezuhudan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lihat saja rumahnya, inilah rumah untuk seorang menteri besar selama 17 tahun memerintah Kelantan, tidak berpagar, jauh lagi berpengawal. Cakapnya perlahan, tapi isinya dalam, beliau dihormati kawan dan lawan, baik Dr Mahathir, Ku Li, bahkan Lim Kit Siang sendiri. Mahu tahu mengenai peribadinya? Mengenalinya lebih dekat?

Ulama Islam dan tokoh politik Melayu


TENANG, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.

Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di ufuk kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.

“Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi di bumi,” kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya


Beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan. Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.

Ahli Parlimen yang komited

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio. Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.

Kerjaya awal sebagai ahli politik

Oleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini.

Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama.

Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS. Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu.

Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Malah Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau BN.

Mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat


Memandang kepada ketokohan dan kewibawaannya sebagai seorang ulama, beliau telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PAS untuk mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat mulai akhir tahun 1960an.

Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua ajaran Rasulullah SAW. Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan peribadi.

Kerajaan contoh

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Kisah Rahsia Di Sebalik Sembahyang Lima Waktu


Ali bin Abi Talib r.a berkata :
"Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata : ' Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.'

Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda: 'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi: 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'

Sabda Rasullullah S.A.W.:
'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhanNya,
Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi,
Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S., maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.
Sembahyang Isya' itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku.
Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.

Rasullullah S.A.W bersabda: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan, sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukimin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah S.A.W. lagi: 'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'

Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan, sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukimin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Sembahyang Isya' (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isya' berjamaah, Allah S.W.T. haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.'

Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya: 'Sembahyang Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan iaitu:

1. Dibebaskan dari api neraka.
2. Dibebaskan dari nifaq.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'.

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S. selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan ke atas keturunan Adam A.S. berlapar selama 30 hari. Sementara izin makan diwaktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya.'

Kata orang Yahudi: 'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu.'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T. tujuh perkara:

1. Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram).
2. Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
3. Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
4. Dijauhkan dari merasa lapar dan haus.
5. Diringan baginya siksa kubur (siksa yang sangatmengerikan).
6. Diberikan cahaya oleh Allah S.W.T. pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath.
7. Allah S.W.T. akan memberinya kemudian di syurga.'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi.'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang nabi mengunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah).'

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah2an. Dan berilah berita gembira kepada orang2 yang sabar."