Oct 17, 2011

Unspoken


mungkin aku hanya terlalu mengharap
mungkin aku perlu lebih memperbaiki diri sebelum mendapatkan sesuatu yang terbaik
mungkin....


hurmm....da la...
blah la ko.....~~!!...(seriously)
=,='~

Aug 23, 2011

Pengubat Hati


"Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu didunia. Tetapi resahlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu diakhirat"

-Imam Al-Ghazali-

Aug 18, 2011

Sedarlah Wahai Umat


Selagi mana pemimpin zalim yang diharapkan untuk menegakkan
agama Islam dibumi Malaysia ini, percayalah...cita-cita itu tidak akan terlaksana.



Sajak Aminah Qutb

Sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
tak semestinya manusia cinta kepada kita,
Tetapi sekiranya,
kita cinta kepada Allah,
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.

Sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
kita akan cemburu pada orang yang
mencintai orang yang kita cintai,

Tetapi sekiranya,
kita cinta pada Allah,
kita akan turut mencintai orang yang
melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah,
andainya dia adalah jodohku
yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku,

Maka,
campakkanlah ke dalam hatinya,
cinta kepadaku adalah kerana-Mu.

Namun,
andainya dia bukanlah jodoh yang
ditetapkan oleh-Mu kepadaku,
berikanlah aku kekuatan agar pasrah
dalam mengharungi ujian,
yang Kau berikan kepadaku..



Aminah Qutb adalah adik kepada Syed Qutb yang syahid ditali gantung.

wassalam.

*raikan cinta dengan bertunjangkan cinta Ilahi

Aug 15, 2011

Mencari Erti

Aku masih mencari
Mencari erti cinta sejati
Yang disulami kasih Ilahi
Agar diri terus diberkati

Aku akan terus mengharap
Mengharap redha dariMu ya Rabbi.


wassalam.

*aku masih leka

Aug 10, 2011

Apa dia Melayu yang takut ?


Melayu yang takut adalah Melayu yang rendah diri. Melayu yang berjiwa hamba. Melayu yang sanggup mencium ke bawah duli. Melayu yang telah bagitu lama ditakut takutkan sehinggakan tidak lagi memiliki initiatif sendiri. Melayu yang takut ini cukup bijak dengan budaya bodek yang telah disebarkan oleh United Malay National Organisation. Melayu yang takut ini hanya sanggup menerima fatwa kerana tidak ada memiliki fikrah yang kritikal. Otak manusia Melayu yang takut ini telah di bonsaikan oleh United Malay National Organisation semenjak 31 Ogos 1957. Inilah dia Malapetaka yang menhimpap manusia Melayu. Justeru tarikah 31 Ogos ini sama-sama kita nobatkan sebagai hari Malapetjka untuk Tanah Melayu.


Post kali ini bersifat memberi semangat dan jauh dari sentimen mengutuk bangsa sendiri. Aku hanya mahu bangsaku sedar, tanah tumpah darah kita ini adalah milik bersama. Perkasakan agamu, insyaAllah bangsa mu dan juga bangsa lain tetap terpelihara. Wallahua'lam.

Wassalam.

*aku tidak mahu jadi layu

Aug 9, 2011

Oh Negaraku

Assalamualaikum w.b.a dan Selamat Sejahtera

Tidak mahu menulis panjang, post kali sekadar ingin melempiaskan kekesalan dan kesedihan angkara kebobrokan SPR terhadap sistem pilihanraya di negaraku tercinta ini. Terima kasih kepada pihak-pihak yang mendedahkan isu ini agar rakyat bawahan seperti aku ini tidak akan lagi diperbodohkan sewenang-wenangnya. Kecuali bagi mereka yang ingin diperbodohkan dan kelihatan bodoh, teruskan lah niat "suci murni" anda itu untuk menyokong kepimpinan korup bangsawan-bangsawan UMNO dan Barisan Nasional.

Terpulang la korg nak pikir camne kepala otak aku ni berfikir. Aku sekadar mengambil tahu apa yang terjadi disekeliling aku dan aku mengambilnya sebagai satu tanggungjawab sebab ianya merupakan isu yang berkaitan dengan umat. Dan jika difikir lagi jauh, ianya akan memberi kesan kepada generasi akan datang. Korang akan berfikir macam mana aku fikir jika korang banyak baca media-media alternatif. Kalau setakat baca berita harian dan utusan termasuklah TV3, memang korangg tak dapatlah berita-berita yang sohih selain fitnah dan putar belit fakta. Memang orang kata, dengar kedua-dua belah pihak dulu sebelum buat keputusan, tapi kalau ko dah berkali-kali ditipu oleh satu pihak tu, ko nak percaya lagi ke??? Isu BERSIH sudah cukup untuk membuatkan kebencian aku terhadap UMNO dan Barisan Nasional terzahir. Korang paham-paham la sendiri kenapa sebab aku yakin isu bersih ni penyebaran beritanya sama ada sebelum berlaku dan selepas berlaku amatlah meluas. Belum lagi aku nak cerita pasal isu-isu lain. Cukup bengang kalau nak diceritakan.

InsyaAllah itu sahaja buat masa ni. Semoga setiap langkah yang dimulakan dalam hidup ini diiringi hidayah dan kasih sayang Allah.

Sekian......Wassalam.

*bicara rakyat prihatin.

Aug 7, 2011

Definisi Arkitektur

Assalamualaikum w.a.b dan Selamat Sejahtera.

InsyaAllah post kali ini aku akan membicarakan perihal definisi arkitektur mengikut kaca mata aku sebagai pelajar dan insyaAllah juga sebagai pengamal arkitektur pada masa hadapan. Selain itu posting kali ini juga bagi memenuhi tugasan-tugasan yang dipinta oleh pensyarah berjiwa sahabat yang sangat dihormati, En Firdaus As-Siddiq.

Menyingkap kembali kata-kata yang pernah dituturkan oleh salah seorang lagi guru arkitekturku,
En Razali Kamisan, beliau menyatakan bahawa apa yang dikatakan ilmu itu ialah apabila matlamat perlaksanaan dan pengajian sesuatu bidang itu adalah kerana ingin menuju kepada Allah Yang Satu. Tidak kira walau bidang apa sekalipun, yang penting matlamatnya yang utama hanyalah Allah Taala. Sebab itulah kenapa setiap amalan itu perlu disertai dengan niat supaya matlamat perlaksanaannya akan menjadi lebih jelas sepertimana yg telah disebutkan oleh rasulullah melalui hadisnya :

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Dari itu, ingin aku nukilkan disini bahawa ARKITEKTUR itu menurut pandanganku adalah hubungan antara Manusia, Alam dan Pencipta. Manusia itu adalah kita yang mempraktis arkitektur, Alam adalah medan yang menjadi kesan atas perlaksanaan arkitektur itu manakala Pencipta pula iaitu Allah Azza Wajalla adalah raja yang menciptakan dan merancang setiap apa yg telah, sedang dan akan berlaku disekeliling kita. Walaupun kalau dilihat secara kasar bahawa arkitektur itu adalah perkara duniawi, kita tidak boleh sekali-kali mengasingkannya daripada tuntutan agama kerana ianya mampu menjadi jambatan untuk ke akhirat yang kekal abadi. Sebab itulah kenapa aku memetik kata-kata En Razali di awal penulisanku.

Allah juga sudah berfirman melalui surah Al-Baqarah pada ayat ke 208 yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kedalam islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu "

Melalui ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa Allah menyuruh hamba-hambaNya yang beriman agar masuk kedalam Islam secara total. Islam bukan hanya sekadar mengucap syahadah, solat, puasa, zakat dan haji bahkan islam itu meliputi seluruh kehidupan kita termasuklah dalam pengajian dan perlaksanaan arkitektur itu.

Jadi, apa yang nak ditekankan disini, betapa perlu dan pentingnya kita mendapat guide daripada agama sepanjang proses pengajian dan perlaksanaan arkitektur itu supaya kita tidak tersasar dan membuat dosa. Apa guna kita berpenat lelah duduk di studio untuk belajar siang dan malam andai solat diabaikan. Sebab itulah pentingnya hubungan kita dengan tuhan sepanjang dalam pengajian dan perlaksanaan arkitektur itu. Berkenaan dengan alam, alam itu bukan hanya tumbuh-tumbuhan dan binatang semata-mata. Alam itu termasuklah semua yang diciptakan Allah diatas muka bumi ini dari sekecil-kecil zarah sehinggalah sepandai-sepandai manusia itu sendiri. Dengan wujudnya rasa bahawa Allah itu wujud, dan memerhatikan setiap tingkah laku kita, arkitektur akan dan dapat dilaksanakan dengan berhati-hati dan cermat sehingga tidak membawa kepada kerosakan alam termasuklah hubungan kita sesama masyarakat.

Aku menyedari, banyak khilaf yang dilakukan oleh kita semua termasuk diri aku sendiri sepanjang pengajian dan perlaksanaan arkitektur ini, Namun ianya bukanlah menjadi penghalang untuk kita melaksanakan hijrah kearah yang lebih baik. Jadikan arkitektur ini sebagai pengikat hati-hati kita untuk terus melaksanakan kebaikan melaluinya.

Alhamdulillah, sekian sahaja pengertian aku terhadap arkitektur itu menurut kaca mata aku sendiri. Buat sahabat-sahabat seperjuangan, walau apa pun ta'rifan kalian terhadap arkitektur itu, jangan sesekali biarkan ianya lari dari landasan hidup kita yang sebenar yang berpaksikan iman dan takwa. Semoga penulisan aku kali ni memberi manfaat untuk kita dan juga generasi akan datang. InsyaAllah......wassalam.

*together we sketch the future...ngeh3...^_^

Aug 6, 2011

Seni Bina dan Keharmonian Kaum

Assalamualaikum w.b.a dan Selamat Sejahtera

Tatkala sedang 'merayau-rayau' disekitar laman maya, aku terjumpa artikel ni yang aku rasa berguna untuk dipraktiskan pada masa sekarang dan akan datang.....InsyaAllah._Sumber_

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Isu ketegangan perkauman di negara ini timbul lagi. Jika terdapat satu ‘kegagalan’ yang menonjol dari gabungan kerajaan yang ada , ia adalah perhubungan kaum yang lebih teruk dari yang dahulu.

Ya, negara kita aman damai, tetapi di sebalik kedamaian ini terdapat ketakutan dan kebencian yang akan menghalang warga Malaysia dari kalangan yang terbaik untuk menyumbang ke arah kebaikan negara ini.

Saya ingin menghuraikan satu aspek yang selama ini telah tersembunyi dan aspek ini juga sesuatu yang saya syak menambahkan lagi ketegangan antara kaum kita. Ia adalah pada cara kita mereka cipta bangunan-bangunan dan merancang kawasan perumahan.

Saya berani menyatakan bahawasanya reka bentuk seni bina dan pelan kawasan perumahan memburukkan lagi pehubungan etnik di negara ini.

Kita perlu memperbaharui cara pemikiran kita tentang reka bentuk dan prinsip-prinsip perancangan perumahan jika kita mahu kembali ke jalan yang benar ke arah sebuah bangsa yang mengenal erti kedamaian dan keharmonian yang hakiki.

Tiga aspek reka bentuk yang menggugat hubungan kaum

Isu perancangan dan reka bentuk yang menggugat perhubungan kaum boleh dibahagikan kepada tiga aspek utama. Pertama adalah reka bentuk rumah teres, kedua adalah pelan kemudahan komuniti dan ketiga adalah bahasa yang digunakan pada bangunan penting kebangsaan.

1. Rumah teres

Mari kita menangani reka bentuk rumah teres. Reka bentuk rumah teres di Malaysia telah menunjukkan perubahan selama empat dekad tetapi ia tetap mengekalkan ciri-ciri asas yang menegangkan perhubungan kaum.

1a. Tingkap

Yang paling menonjol adalah tingkap yang menghadap antara saru sama lain di bahagian depan dan belakang rumah. Situasi yang paling teruk adalah di lorong belakang rumah.

Arkitek telah mereka bentuk tingkap yang sama tanpa peduli tentang isu kesalahan privasi. Tingkap di belakang rumah teres berfungsi bagi ruang dapur dan bilik tidur. Aroma memasak untuk budaya yang berlainan mungkin menegangkan perhubungan sosial yang sihat.

Disebabkan perancangan perumahan yang padat, tiada pergerakan angin di lorong belakang rumah yang boleh membuatkan aroma memasak itu hilang. Kegunaan cerobong asap sama ada dari batu bata atau besi patut diberi pertimbangan oleh pemaju kerana ini boleh menghilangkan aroma itu.

Tingkap bilik tidur sepatutnya direka berbeza untuk mengelakkan perlanggaran visual. Seperti sekarang, penyewa rumah menarik langsir untuk mengelakkan pandangan tetapi tetap memerlukan cahaya dan pengudaraan.

Ini menambahkan pengggunaan tenaga untuk penyejukan dan cahaya. Reka bentuk tingkap sepatutnya dibahagikan kepada yang memberi cahaya dan pengudaraan dan masih memberi pemandangan.

Saya mencadangkan tingkap riben lebih dari lima kaki direka sehingga ke siling untuk memberi cahaya dan pengudaraan yang maksimum.

Untuk pemandangan yang terhad, saya mencadangkan belahan kecil tingkap satu kaki lebar diletakkan di sudut-sudut dari di pertengahan dinding. Belahan kecil ini sepatutnya yang dalam atau rangka konkrit dengan anggaran sekaki dalamnya untuk menghadkan kebolehan pemandangan dari luar.

Masharabiya Islam boleh juga menjadi penyelesaian yang menarik kerana ia membenarkan pemandangan dari dalam ke luar dan bukan yang sebaliknya.

Cara lain adalah dengan melanskap kembali lorong-lorong dan jalan hadapan dengan pokok tetapi ini akan menghalang sinaran matahari untuk mengeringkan pakaian. Barangkali kita boleh juga menyidai pakaian di atap rumah dari di aras bawah.

1b. Halaman rumah

Aspek lain mereka bentuk rumah yang diambil kira adalah reka bentuk halaman rumah. Saya perlu bersabar dengan jiran berbangsa Cina saya yang membakar colok yang membenarkan asap yang menyinggung memasuki ruang tamu saya.

Saya terpaksa menutup pintu kaca saya yang mengehadkan peredaran udara. Patutkah kita melarang upacara ini dari diamalkan? Semestinya tidak.

Penyelesaian yang mudah adalah membina cerobong asal besi direka ke dalam ruang siling halaman.

Suatu senario yang paling membahayakan adalah jiran yang menghidupkan enjin kereta untuk sementara dan membiarkan gas beracun karbon monoksida ke dalam rumah sebelah. Sekarang ini, kebanyakan orang memanjangkan halaman mereka untuk meliputi ruang serambi sepenuhnya.

Saya mencadangkan lebih halangan patut dibina selain dari jarak minima 20 kaki. Dengan cara ini, sebuah serambi yang berukuran dua puluh kaki meliputi sepenuhnya kereta boleh menjadi ciri rumah Malaysia tetapi penambahan ekstra 10 kaki tanpa atap dan ruang berpagar membenarkan kereta dibiarkan terpasang dengan kurang peluang asap memasuki ke dalam rumah.

2. Pelan kemudahan komuniti

Sekarang kita menyentuh pelan perancangan perumahan estet selain dari hanya reka bentuk rumah.

2a. Kemudahan berjalan kaki

Saya telah banyak menulis rencana tentang bagaimana kita perlu berjalan kaki dalam perumahan dan ini dapat menyelesaikan segala masalah-masalah yang berkaitan dengan kesihatan fizikal, kesihatan sosial, kesihatan ekonomi, kesihatan alam sekitar dan keselamatan persendirian.

Dengan berjalan ke kedai dan tadika, daripada kita memandu, kita boleh memperoleh kesihatan yang lebih baik. Kita jimat duit yang digunakan untuk minyak dan kurang mencemarkan alam sekitar.

Dengan kadar pergerakan yang lebih perlahan, kita boleh bertegur sapa dengan jiran-jiran dari memandu melepasi mereka semasa berada di dalam kereta yang 100 peratus berhawa dingin dan diwarnai hitam untuk menghalang sinaran matahari dan pemandangan orang luar.

Jika kita mengenali semua orang, kata dapat membina ruang yang boleh dipertahankan dari orang asing yang merancang untuk membuat jenayah. Jika estet perumahan dipenuhi dengan orang lalu lalang saya hampir boleh menjamin yang jenayah dapat disekat.

Tetapi bagaimana kita boleh menggalakkan budaya berjalan?

Wajibkan pembinaan pejalan kaki di tepi jalan raya. Wajibkan menanam pokok yang redup. Tempatkan pondok wakaf dan perabot sederhana di tepi jalan raya untuk menjadikan tempat berehat dan tempat untuk ibu-ibu dan kanak-kanak menunggu bas.

Bina gerai atau pondok untuk menjual surat khabar dan goreng pisang yang mudah digunakan dan memberi kemudahan untuk bisnes kecil-kecilan yang ada potensi untuk membina pusat kegiatan sosial di dalam komuniti.

Tempatkan sekolah, perpustakaan, masjid, kuil, pusat komuniti dan kedai dalam jarak berjalan yang dekat supaya ia memberi galakan untuk berjalan daripada memandu. Promosi mengayuh basikal di kalangan rakyat dengan membina jalan kecil atau lorong dan juga tempat memakir basikal.

Ia sangat mudah. Dengan mengadakan semua ciri-ciri ini tanpa pokok palma dan tiang lampu yang berhias, kita sudah menempatkan element-element yang strategik yang membolehkan interaksi perkauman dan komuniti.

2b. Bangunan komuniti

Seterusnya adalah bangunan komuniti. Pastikan terdapat masjid, kuil dan gereja yang memainkan peranan sebagai nod komuniti untuk persefahaman diantara kaum. Reka semua kemudahan ini dengan mesra alam dan halaman berlanskap.

Hapuskan ruang memarkir kereta untuk membenarkan konsep terbuka dan undangan daripada pagar yang tertutup dan kawasan bertar untuk memarkir kenderaan.

Gantikan halaman hadapan dengan taman permainan dan gerai kopi dengan kerusi serambi.

Janganlah kita bersifat megah dengan masjid gergasi Ottoman atau kuil dan gereja yang memiliki elemen-elemen Chatres Cathedral.

Garisan moden yang mudah dibuat secara meluas yang mengandungi kerendahan hati dan keadaan berliang tropikal sepatutnya menjadi bahan utama untuk kosa kata seni bina. Atau kita imbas kembali pada masa apabila masjid Nusantara meniru pagoda Cina seperti bentuk bumbung untuk mengilustrasi sikap toleransi agama.

3. Bahasa monumen kebangsaan

Akhirnya, kita lihat pada reka bentuk monumen kebangsaan, terutama di Putrajaya.

Saya sudah menulis dan bercakap mengenai bagaimana bangunan Parliamen Malaysia berbeza dalam konsep seni bina dari bangunan Jabatan Perdana Menteri. Satu adalah manifestasi sosialis manakala yang satu lagi lebih kepada Istana Perancis dalam kemewahannya.

Marilah kita mengingati bahawasanya kita adalah satu negara yang demokrasi dan mengingatkan pemimpin-pemimpin yang mereka tidak akan menggantikan Sultan-Sultan di negara ini.

Negara ini diperintah oleh rakyat biasa yang sepatutnya mengundi pemimpin yang terdiri dari rakyat biasa juga untuk suatu tempoh masa yang ditetapkan.

Negara ini bukanlah autokrasi dalam membuat undang-undang dan Perdana Menteri perlu berhati-hati dengan anggota keluarga memegang jawatan dalam memerintah negara. Kita tidak mahu sebuah dinasti wujud di Malaysia.

Pertama, untuk bangunan pentadbiran, sila buang perbendaharaan kata seni bina feudal dan fokus lebih kepada kerendahan hati organik seperti yang dicadangkan dari arkitek terulung Frank Lloyd Wright.

Kedua, janganlah kita meliputi bangunan itu dengan satu bahasa etnik sahaja. Kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum.

Sama ada mereka bentuk bangunan itu dengan memilih daripada pelbagai sumber bahasa Melayu, Kadazan, Iban, Cina dan India atau menghindari dari merujuk dan mengutamakan satu bahasa sahaja.

Apabila arkitek Raymond Honey ditugaskan untuk mereka Dewan Jubli di Johor Bahru, Sir Gerald Templer meminta dia mencuba stail ‘Malaysian’ dengan mempelbagaikan sumber. Bangunan Parliament dari Ivor Shipley mengandungi pendekatan tidak-etnik dan hanya mementingkan senibina tropikal yang mengandungi nada wilayah.

Bagaimana kaum-kaum di negara ini berupaya melihat sebuah bangunan yang mengagungkan hanya satu bangsa?

Kesimpulan

Maka, seperti saya sudah berkata dalam banyak ceramah dan penulisan, seni bina boleh menjadi pembina tamadun dan pemusnahnya juga.

Seorang arkitek merisaukan saya apabila dia bertanya bagaimana seni bina boleh memainkan peranan dalam ‘pembinaan bangsa.’

Seni bina adalah rumah manusia. Ia adalah manifestasi ritual, kelakuan dan kepercayaan. Jika kita boleh menegaskan kesejahteraan bangsa yang ideal, seni bina dapat menyediakan pentas untuk perhubungan kaum yang lebih baik.

Tetapi jika kita masih mahu merancang dan mereka dalam cara yang masa kini tanpa memikirkan tentang perlanggaran privasi, kemudahan bersama dan bahasa demokratik seni bina, kita pasti akan mengukir suatu jalan ke arah kehancuran keharmonian kaum.

-Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi-
*Penulis artikel adalah Profesor Jabatan Seni Bina di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia
-----------------------------------------------------------------------------------------------
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Surah Al-Hujurat : Ayat 13.

semoga artikel ini memberi iktibar kepada kita untuk diamalkan bersama-sama....wassalam.

*Malaysia tanah tumpah darahku....=]~

Aug 4, 2011

Indahnya Cinta Selepas Pernikahan

Assalamualaikum w.b.a.

InsyaAllah post kali ni aku re-post dari laman I Luv Islam untuk kebaikan kita bersama dalam mempersiapkan diri dengan segala macam amal soleh demi keredhaan-Nya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.

Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.

Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?

Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.

Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!

Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." [Surah Ali 'Imran 3 : 190]

Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).

Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.

Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.

Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.

Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.

Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.

Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!

Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilahdaripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.

Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.

Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala! Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?

Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!

Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.

Semoga kita sentiasa berubah menjadi lebih baik.....wassalam.

Aug 3, 2011

Wasiat Syed Qutb


Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Kita pasti berjaya
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan
Kerna pejuang tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya
Relakanlah pemergianku ini
Iringiku dengan seribu doa
Semoga kita kan berjumpa semula
Di taman Syurga yang indah

Semoga Allah merahmatinya....wassalam.

Aug 1, 2011

Ahlan ya Ramadhan

Assalamualaikum w.b.a dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, setelah sekian lama menanti, bulan yang ditunggu-tunggu kedatangannya oleh diriku dan seluruh umat Islam yang beriman telah pun tiba iaitu Ramadhan. Bulan Ramadhan ialah bulan dimana diwajibkan keatas kaum Muslim yang beriman untuk menunaikan rukun Islam yang ketiga iaitu ibadah puasa. Hal ini telah diperintahkan oleh Allah Taala melalui kalamnya dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 186 :

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."

Namun begitu, aku tak berniat untuk bercakap panjang lebar tentang ibadah berpuasa serta fadhilat-fadhilatnya. Sekadar menyentuh sedikit tentang takwa seperti yang disebut dalam ayat tersebut, aku nak share dengan korang petikan tazkirah ramadhan daripada seorang ulama' yang disegani iaitu Tuan Gu Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

" Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai 'bulan puasa'. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal daripada sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti didalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah takwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Takwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanay tumpah kedalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk kemasjid, lidah akan dipandu untuk membaca Al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain"

Semoga kita mendapat iktibar melalui tazkirah tersebut. Dengan adanya kesempatan ini, ingin aku mengucapkan salam Ramdhan buat kalian yang aku kenali dan seluruh umat Islam amnya. Semoga kedatangan Ramadhan pada kali ini akan menjadi sesuatu yang lebih bermakna buat kita semua dengan penghijrahan diri kearah sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah.


InsyaAllah, itu sahaja post dari aku kali ini. Semoga Ramadhan yang dilalui kali ini akan menjadi lebih baik daripada ramadhan yang sebelum-belumnya. Wassalam.

*post ditulis tatkala menonton Ketika Cinta Bertasbih <-------perlu ke nak bgtawu???....sukati aku la....hehe..=]~

Jul 6, 2011

Tuntutan-Tuntutan Rakyat

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

InsyaAllah selepas korang faham apa sebenarnya perhimpunan bersih ni melalui post aku yang lepas, post kali ni aku nak share ngan korg tentang 8 tuntutan bagi perhimpunan BERSIH nih. Apa yang aku nak kongsikan kali ni adalah berpandukan brochure yang aku terima masa aku pergi roadshow ceramah tentang perhimpunan BERSIH ni.

1. BERSIHKAN SENARAI UNDI

· Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal dunia.

· Pendaftaran pengundi automatik yang diselaraskan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2.MEREFORMASIKAN UNDI POS

· SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada dikawasan pengundian semasa hari mengundi.

· Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

· Undi pos wajib dijalankan dengan telus!. Wakil parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. GUNAKAN DAKWAT KEKAL

· Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang atau pengundi hantu daripada mengundi beberapa kali.

4. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL

· RTM dan BERNAMA adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberikan liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

· Parti politik harus dibenarkan membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

· Hal ini adalah mengenai keadilan. Semua media perlu memberikan ruang untuk mana-mana parti membalas tuduhan negatif terhadap mereka.

5. TEMPOH KEMPEN MINIMA 21 HARI

· Tempoh yang lebih lama diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya dikawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi tempoh kempen 10 hari sahaja.

· Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai tempoh kempen sehingga 42 hari. Manakal semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, tempoh kempen adalah selama 8 hari sahaja.

6. KUKUHKAN INSTITUSI AWAM

Institusi awam dan kakitangan kerajaan haruslah tidak berat sebelah dalam menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam haruslah direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya :

· SURUHANJAYA PILIHANRAYA (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

· BADAN KEHAKIMAN harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

· PEGUAM NEGARA perlu bertindak secara berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

· SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaa kuasa.

· POLIS DI RAJA MALAYSIA perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. HENTIKAN RASUAH

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Alhamdulillah, walaupun ada sedikit perkara dari penerangan tentang tuntutan ini sukar difahami kerana berada diluar lingkungan ilmu, tetapi jika dinilai secara keseluruhannya, tidak ada satu pun daripada tuntutan-tuntutan ini mendatangkan keburukan. Tapi, apa yang kita dengar melalui media-media arus perdana serta ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin negara dan NGO-NGO yang pro-kerajaan, perhimpunan BERSIH 2.0 adalah satu perhimpunan haram yang boleh mendatangkan keburukan kepada negara. Sebagai pelajar yang bertaraf mahasiswa, aku berpendirian bahawa ucapan-ucapan fitnah yang ditabur golongan-golongan ini langsung tidak relevan dan tidak mengangkat aspirasi rakyat yang mahukan keadilan dalam negara Malaysia nih.

InsyaAllah, sampai disini saja penulisan aku buat masa nih. Apa yang aku harapkan adalah sekadar perkongsian untuk membuka minda kita masing-masing dalam membezakan baik dan buruk. Allahua’lam.

*mereka masih tidak mengerti.