Amanah terbesar dalam Islam ialah memerintah negara, di mana UMNO telah diberi kepercayaan sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan sehingga kini, bagi memimpinkerajaan bagi pihak melayu beragama Islam dalam BN, dahulunya Perikatan.
Islam telah diterima oleh semua kaum menjadi agama negara dengan hak yang adil kepada penganut berbagai agama dalam konsep persefahaman sempadan saling mengerti dalam perkara yang berbeza.
Islam wajib diperkasakan sehingga mengatasi yang lain dengan pendekatan yang bijak dan amalan yang istiqamah dan adil terhadap semua, kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan dengan paksaan dan ugutan kosong.
Apabila tercetusnya isu kitab Injil diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, dengan menterjemahkan perkataan God atau Lord atau Tuhan dengan perkataan Allah, UMNO telah gagal bertanggungjawab dengan betul sebagai pihak yang berada di kerusi kekuasaan kerajaan.
Media arus perdana kepunyaan UMNO dijadikan medan perbincangan (tempat bermuzakarah) dalam perkara yang besar ini sehingga melibatkan semua orang, termasuk yang buta ilmu Islam dan hurufnya, setelah hurufnya dihapuskan oleh UMNO.
Padahal urusan kebenaran menerbit buku dan pengedarannya adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.
Dalam urusan yang berkait dengan Agama Islam, ianya perlu mendapat nasihat dan kelulusan pihak berkuasa Hal Ehwal Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Agama Islam di Negeri – Negeri, di mana keseluruhannya berada di bawah UMNO yang menjadi parti Melayu Islam yang memerintah.
Portfolio kementerian ini di perkuatkan dengan seorang menteri di peringkat Pusat atau exco agama di peringkat negeri.
Mengapa UMNO menangani isu besar ini secara membaling batu sembunyi tangan, dengan mengheret pihak yang tidak patut berbincang dalam urusan Yang Maha Besar iaitu kalimah Allah? Mengapa tidak selesaikan oleh pihak berkuasa di bawah UMNO yang memerintah?.
Patutkah perkara ini dijadikan bahan kempen pilihanraya sehingga menjadi berkecamuk dikalangan rakyat kerana dijadikan perbincangan melibatkan kalangan yang tidak faham?
PAS tampil dengan ilmu Islam dan adabnya. Sebagaimana dalam kenyataan media saya pada 8 Januari 2013 lalu, intipati perkara dua dalam kenyataan media itu adalah jelas dan sangat mudah difahami (hanya yang berniat jahat sahaja tidak membacanya), bahawa kalimah Allah yang Maha Suci dan Mulia, tidak mampu diterjemahkan ke dalam apa-apa perkataan daripada bahasa yang lain, termasuk Bahasa Arab sendiri dengan perkataan yang lain daripada perkataan Allah, kerana tidak ada satu kalimah yang sama erti dengannya.
Lebih jauh lagi, perkataan ber Bahasa Melayu atau apa sahaja bahasa di kalangan bangsa yang menganut agama Islam, sehingga semua bangsa penganut Islam tidak menterjemahkan kalimah “Allah” ke dalam bahasa lidah masing-masing atau bahasa sendiri.
Begitulah juga perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu, God dan Lord dalam bahasa penganut agama Kristian paling ramai, tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Allah, kerana tidak mencapai maksudnya. Firman Allah menjelaskan makna Allah :
Yang maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat ; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya".
Mengikut bahasanya perkataan God dan Lord ada plural, male dan female (God, Gods, Goddess, Lord, Lords) dan begitulah juga perkataan Tuhan dalam bahasa lain.
Adapun perkataan Allah adalah Maha Esa seperti dinyatakan dalam surah al-Ikhlas adalah huraian mengikut bahasa al-Quran, sehingga semua nama-nama Allah (Al Asma Al Husna) termasuk dalam nama tunggal Allah.
Maka pihak bukan Islam tidak boleh mengelirukan kalangan penganut Islam apabila menggunakan kalimah Allah (intipati perkara tiga dalam kenyataan media 8 Januari 2013). Bahkan menafsirkan perkataan ar-Rahman pun boleh merendahkan maknanya sehingga laksana maki hamun terhadap Allah. Firman Allah :
Yang maksudnya : Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) ar-Rahman, mempunyai anak.". Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara Yang besar salahnya !. Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, Bahawa ia mempunyai anak. Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing masing akan datang mengadapnya pada hari kiamat dengan seorang diri.
Begitulah seriusnya kesan apabila kalimah Allah disalahgunakan di hadapan penganut Islam dan Umat Islam wajib mempertahankan aqidah penganutnya, maka penyalahgunaan kalimah Allah dalam masyarakat Islam adalah dilarang . Ada pun kuasa dari segi perundangan berada di tangan parti yang memerintah, bukannya PAS.
Al-Quran juga melarang penganut Islam memaki tuhan yang dipercayai oleh penganut agama lain sehingga menimbulkan ketegangan yang menghina Allah.
Firman Allah :
Firman Allah :
Yang maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Ada pun penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dalam urusan agama mereka atau sesama mereka atau dalam penggunaan bersama yang tidak menimbulkan kekeliruan, maka al-Quran dan Hadith mengizinkan dengan penjelasan secara lisan dan amalan (intipati perkara nombor empat dalam kenyataan media 8 Januari 2013).
Firman Allah :
Firman Allah :
Yang maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".
Rasulullah S.A.W. mengarahkan sahabatnya meletakkan ayat ini ke dalam surat yang dihantar kepada Raja Rom, Mesir dan Habsyah yang menganut agama Kristian supaya menjelaskan penggunaan kalimah oleh mereka dengan betul.
Betapa sucinya kalimah Allah walau pun digunakan oleh penganut agama kitab dengan fahaman mereka yang salah maka dihalalkan penganut Islam memakan sembelihan mereka dengan nas al-Quran:
Yang maksudnya : Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).
Kalimah Allah diterima bersama dalam perjanjian Hudaibiyyah di antara Rasulullah SAW dengan pemimpin Musyrikin Makkah dengan fahaman yang berbeza terhadap kalimah Allah dan bersetuju untuk berdamai.
Para ulama dan pemimipin PAS, bahkan di luar PAS dan para mufti yang majoritinya tidak bercakap kerana ditutup suaranya, adalah bersepakat dalam perkara yang sudah dinaskan dalam al- Quran dan Sunnah. Jangan laga-lagakan para pemimpin PAS dan ulama melalui media dengan cara memutar belitkan laporan, sehingga tersalah langkah membawa padah kerana jahil murakkab.
Malangnya semua kenyataan secara nas ini dilupakan kerana kesilapan UMNO yang tidak mampu mentadbir urusan agama Islam. Jabatan Agama hanya ditugaskan untuk mengawasi kuliah agama, khutbah jumaat dan kegiatan agama yang boleh mendedahkan aurat Umno yang tidak menutup aurat supaya UMNO menjadi parti maha suci daripada segala dosa.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa yang penting bagi UMNO hanyalah kemenangan pilihanraya mendapat kuasa semata-mata tanpa batas –batas iman dan kufur, benar dan salah, dosa dan pahala.
UMNO melakukan kesilapan dan dosa besar apabila menyerahkan urusan kalimah Allah ini kepada pasukan propaganda dan saraf dalam partinya dan jentera kerajaan yang dikhadamkan, maka berlakulah perbincangan yang lebih buruk daripada laksana menyerah bunga d itangan sang kera yang tidak berakal, kemudian diserahkan kepada para ilmuan, ulama dan mufti pengecut berdepan secara muzakarah, tetapi sanggup menjadi terompah kayu kepada UMNO untuk menegakkan hujah laksana mereka yang dinyatakan oleh Allah:
Yang maksudnya: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
Tuan-tuan, janganlah jadikan PAS terpaksa membasuh kekotoran yang diadakan oleh UMNO, dan dalam masa yang sama PAS pula dipersalahkan atau menjadi kambing hitam yang disembelih kerana mempertahankan khurafat UMNO.
PRESIDEN PAS
No comments:
Post a Comment